Posts Tagged ‘Malaysian Super League 2011’
MSL 2011 : Wan Jamak bidas pemain muda Kedah FA

PEMAIN Kedah, Mohd. Azmi Muslim (tengah) dicabar dua pemain Selangor pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam kelmarin. Selangor menang 2-0.
JURULATIH Kedah FA, Wan Jamak Wan Hassan ternyata kecewa dengan prestasi barisan pemain mudanya ketika tewas 0-2 kepada Selangor FA pada aksi Liga Super Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam kelmarin.
Jelas Wan Jamak, peluang yang diberikan kepada pemain muda untuk beraksi sepatutnya dimanfaatkan sebaiknya, namun gagal memberi persembahan baik seperti yang diharapkan.
Katanya, biarpun anak-anak buahnya mampu beraksi dengan baik pada babak pertama, namun keadaan sebaliknya berlaku pada separuh masa kedua yang menyaksikan Selangor memperoleh dua gol.
“Saya lihat pemain muda, terutamanya Ahmad Shakir Ali yang dimasukkan pada separuh masa kedua bagi menggantikan Mohd. Khyril Muhymeen Zambri tidak bermain bersungguh-sungguh dan tidak banyak melakukan gerakan agresif seperti yang saya harapkan.
“Hilang bola tak nak kejar, ini bukan pasukan bola sepak kampung, ini pasukan negeri dan dia perlu menghormati bendera dan pasukan negeri sendiri,” tegas Wan Jamak sejurus selepas tamat perlawa- nan kelmarin.
Dua jaringan Selangor dihasilkan oleh Mohd. Fadzli Shaari pada minit ke-59 dan Rudie Ramli (87).
Menurut Wan Jamak, tahap ketahanan dan kecergasan pemain-pemain Kedah juga lemah se- hingga menyebabkan mereka melakukan beberapa kesilapan sehingga memberi ruang kepada pasukan lawan.
Katanya, beliau mempunyai masa selama seminggu untuk memperkemaskan kembali jentera pasukan dan memperbaiki beberapa kesilapan bagi menghadapi perlawanan akan datang.
“Saya nak tekan mereka (pemain) pun tak patut, sebab soal kecergasan dan ke- tahanan tenaga perlu dilakukan sebelum saingan liga berlangsung.
“Kita akan mengenal pasti pemain lain bagi membantu jentera serangan mencari gol pada perlawanan berikutnya,” katanya.
MSL 2011 : Kedah turun tempang tembung Selangor
PERIT memikirkan cabaran tanpa segenggam tonggak utama yang tercedera dan belum cergas, jurulatih Kedah FA, Wan Jamak Wan Hassan tiada pilihan kecuali bergantung kepada sumbangan barisan muda menjelang pertemuan menentang Selangor FA dalam saingan Liga Super Malaysia 2011 di Stadium Darulaman, malam ini.
“Saya harap dengan strategi yang kita atur dapat mencipta satu kejutan mengutip mata penuh di tempat sendiri walaupun dengan barisan muda,” katanya, semalam.
Antara pemain utama yang masih cedera dan tidak cergas sepenuhnya adalah pemain sayap, Mohd Khyril Muhymeen Zambri, penyerang, Azlan Ismail serta dua pemain tengah, Mohd Azmi Muslim dan V Thirumurugan.
Wan Jamak berkata walaupun akan berdepan tekanan daripada penyokong sendiri, dia menasihatkan anak didiknya itu bermain dengan sikap tenang tetapi penuh berwaspada menyedari Selangor FA mampu menghukum setiap kesilapan lawan.
“Tekanan penyokong sebenarnya baik untuk menyuntik semangat pemain tetapi bukan semua pemain dapat terima,” katanya. “Saya harap pemain dapat memberi fokus 100 peratus.”
MSL 2011 : Kelantan 2 – 0 Kedah
Kedah terpaksa akur kegagalannya menurunkan pemain lama dan berpengalaman di bahagian serangan akibat kecederaan menyebabkan pasukan itu kecundang kepada Kelantan 0-2 di gelanggang lawan di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Jumaat malam.
Namun begitu, jurulatih pasukan itu, Wan Jamak Hassan berpuas hati dengan permainan yang ditunjukkan kesebelasan anak buahnya itu.
“Saya terpaksa akur dengan keputusan itu bahawa kegagalan menurunkan pemain lama dan berpengalaman terutama di bahagian serangan akibat kecederaan punca kekalahan kita kepada Kelantan,” katanya selepas perlawanan itu di sini, Jumaat malam.
Beliau juga mengakui kekuatan permainan yang ditunjukkan kesebelasan Red Warriors di bawah bimbingan Datuk M.Karathu ditambah dengan sokongan moral penyokong yang memenuhi stadium itu.
Beliau percaya kehilangan beberapa tonggak utama di barisan penyerang memberi kesan kepada corak permainan menentang pasukan tuan rumah Kelantan.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Kelantan, Karathu memuji kesungguhan yang ditunjukkan anak buahnya terutama pada separuh masa kedua selepas memasukkan pemain simpanan Mohd Khalid Jamlus pada minit ke-54 walaupun gagal memanfaatkan 45 minit sepasuh masa pertama menyebabkan kedua-dua pasukan terikat 0-0.
MSL 2010-2011 : Takziah buat jurulatih Kedah FA
YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak meyampaikan ucapan takziah kepada Jurulatih Pasukan Kedah, Wan Jamak Wan Hassan dan keluarga beliau.
Ucapan takziah tersebut disampaikan setelah mendapat berita kematian bapa mertua jurulatih Kedah itu semalam.
Jawatankuasa eksekutif juga merakamkan ucapan takziah kepada surulatih Wan Jamak.
Jawatankuasa Media KFA yang dipengerusikan oleh Sdr Yusri turut merakamkan ucapan takziah dan berharap Wan Jamak bersabar dan berdoa semoga roh Allahyarham di himpunkan bersama-sama dengan orang-orang bertaqwa.
MSL 2011 – Wan Jamak sasar Kedah juara
SIFU baru skuad Hijau Kuning, Wan Jamak Wan Hassan menetapkan sasaran peribadi untuk membantu Kedah muncul juara Liga Super dan Piala Malaysia musim ini.
Bagaimanapun, bekas jurulatih Negeri Sembilan itu mengakui berdepan tugas berat untuk memastikan skuad Hijau Kuning berada di landasan yang tepat selepas mengambil alih jawatan tersebut daripada Ahmad Yusoff pada pertengahan musim ini.
Wan Jamak memberitahu, beliau sudah bersedia memikul tanggungjawab itu dengan mendapat bantuan semua pihak di sebalik harapan tinggi yang disandarkan peminat dan majikan barunya, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).
Jelasnya, menerusi dua sasaran besar itu menjadikan pasukan akan lebih fokus bagi mencapai keputusan yang terbaik apabila musim ini berakhir.
“Sekiranya kita sasar yang terbaik, kita mungkin dapat mencapai keputusan yang baik. Saya akan bekerjasama dengan semua pihak khususnya penolong jurulatih dan para pemain untuk cuba mempertingkatkan lagi prestasi pasukan Kedah,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada majlis memperkenalkan beliau dan menandatangani kontrak bersama skuad Sang Kenari di Stadium Darul Aman, Alor Setar semalam.
Turut hadir Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Dr. Hamdan Mohamed Khalib; pengurus pasukan, Datuk Khazali Din, ahli jawatankuasa eksekutif KFA; penolong-penolong jurulatih dan para pemain pasukan bola sepak Kedah.
Ujar Wan Jamak, pada mulanya beliau bercadang untuk berehat sehingga penghujung musim ini, namun mengakui tidak boleh ‘duduk diam’ kerana bola sepak sudah menjadi darah dagingnya.
Setelah mendapat tawaran daripada KFA, katanya, beliau memilih untuk menerima jawatan berkenaan kerana melihat Hijau Kuning mempunyai ramai pemain muda yang berpontensi dan berbakat.
“Saya juga melihat Kedah dibarisi ramai pemain anak negeri ini sekali gus menjadikan sikap kekitaan atau kenegerian begitu tinggi.
“Ini menjanjikan komitmen daripada para pemain untuk memberikan yang terbaik bagi melonjakkan nama Kedah,” katanya yang akan mengendalikan sepenuhnya skuad Sang Kenari mulai Khamis ini.
Dalam pada itu, Hamdan berkata, selepas menyaring beberapa nama, KFA melihat Wan Jamak sebagai calon terbaik mengisi jawatan jurulatih berikutan prestasinya yang cemerlang ketika membimbing Negeri Sembilan.
Katanya, di sebalik peletakan jawatan Wan Jamak sebagai jurulatih skuad Hoben Jang Hoben, KFA menyedari dia memiliki reputasi memberangsangkan apabila membantu pasukan itu menjuarai Piala Malaysia dan Piala FA di bawah kendaliannya.
“KFA menetapkan sasaran Kedah berada pada kedudukan ketiga terbaik Liga Super dan mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir Piala Malaysia dengan pelantikan Wan Jamak,” katanya.
MSL 2011 : Penyokong Kedah berang; Kedah FA 1-2 Harimau Muda A
TANPA diduga, pengadil yang mengendalikan perlawanan Liga Super Malaysia antara Kedah dengan Harimau Muda A di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam kelmarin telah ‘menarik minat’ penyokong skuad Hijau Kuning.
Shokri Nor menjadi sasaran ribuan penyokong skuad Kedah setelah beberapa keputusannya menimbulkan rasa tidak puas hati mereka.
Ketidakpuasan itu bukan sahaja berlaku ketika perlawanan, malah berlarutan ke perkarangan stadium sehingga memaksa anggota keselamatan meminta mereka bersurai setelah kira-kira 10 minit berhimpun sebagai protes kepada Shokri.
Bagi penolong jurulatih Kedah, Radhi Mat Din, beliau menyerahkan kepada penonton yang hadir menyaksikan perlawanan tersebut untuk menilai kredibiliti Shokri.
“Saya bukan mahu menuding jari menyalahkan sesiapa tetapi penonton di stadium boleh menilainya,” kata Radhi ketika ditemui pemberita selepas perlawanan yang berkesudahan Kedah tewas 1-2 kepada Harimau Muda A.
Shokri turut dibantu dua penolong pengadil, M. Sivanesan dan Mohd. Nazmi Nasaruddin. Pegawai keempat pula adalah Mohd. Fazli Ishak, manakala M. Selvadorai bertindak sebagai komisioner perlawanan.
Pasukan pelawat terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah menerusi jaringan Izzaq Faris Ramlan yang menanduk cantik hantaran sudut pada minit ke-29 dan jaringan kedua menerusi sepakan percuma Mohd. Fandi Othman minit ke-55.
Jaringan tunggal Kedah pula diperoleh menerusi sepakan penalti Baddrol Bakhtiar pada minit ke-63.
Difahamkan, ketidakpuasan hati penonton bermula pada babak pertama apabila Shokri tidak memberikan sepakan penalti kepada Kedah setelah bola dikatakan ditampan oleh seorang pemain pertahanan Harimau Muda A.
Perlawanan itu turut ‘diserikan’ dengan lima layangan kad kuning kepada pemain Kedah iaitu Shafizan Hashim, Amar Rohidan, Ahmad Fauzi Shaari, V. Thirumurugan dan Mohd. Faizal Abu Bakar serta A. Thamil Arasu dari Harimau Muda A.
Kemuncak kemarahan penonton apabila tambahan masa hanya diberikan selama dua minit sedangkan pada minit2 akhir perlawanan dihentikan, berikutan berlaku kecederaan dan ‘perang mulut’ antara pemain kedua-dua pasukan.
Insiden itu membawa kepada layangan kad kuning kepada Shafizan dan Thamil Arasu.
Radhi yang kurang gembira dengan corak pengadilan Shokri berharap perkara sama tidak berulang dan menyerahkan kepada Persatuan Bola Sepak Kedah (Kedah FA) sama ada mahu membuat bantahan atau sebaliknya.
“Saya akan lihat perkara ini (bantahan),” katanya.
Menyentuh mengenai perlawanan, Radhi memberitahu, pemain Harimau Muda A dilihat lebih enjoy dan mampu menguasai perlawanan dengan baik menerusi kepantasan mereka bergerak.
Katanya, pemain Kedah pula dilihat keletihan selepas mengharungi perlawanan yang padat selain kehilangan beberapa tonggak.
MSL 2011 : Harimau Muda A 0 – 1 Kedah, Skuad Hijau Kuning lonjak tangga keempat Liga Super
KEDAH merakam kemenangan keempat berturut-turut untuk melonjak ke tangga keempat Liga Super Malaysia – dipisahkan atas perbezaan jaringan oleh pasukan tempat ketiga, Kelantan FA – selepas berhempas pulas menewaskan Harimau Muda A 1-0 di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Skuad dikendalikan sementara Radhi Mat Din bagaimanapun terpaksa menunggu sehingga minit ke-80 atas kesilapan pertahanan Harimau Muda A, Mohd Amer Saidin. Pada babak pertama, hanya beberapa percubaan tepat dilakukan barisan serangan kedua-dua pasukan yang menyaksikan skuad pelapis negara hampir membuka jaringan pada minit ke-36 menerusi rembatan jarak dekat Syahrul Azwari Ibrahim, namun diselamatkan penjaga gol Kedah, Helmi Eliza Elias.
Kedah pantas membuat serangan balas dan umpanan kepada Ahmad Shakir Ali hampir menjelmakan gol buat pelawat tetapi penyerang itu terlebih dulu dikesan berkedudukan ofsaid.
Pada babak kedua, skuad kendalian Ong Kim Swee menggandakan asakan tetapi bekas penjaga gol kebangsaan, Helmi Eliza beraksi cemerlang memastikan gawang pasukannya kebal untuk menafikan usaha Harimau Muda mencari ketiga berturut-turut.
Kedah yang dijangka bakal dikendali Wan Jamak Wan Hassan bulan depan, beberapa kali melepasi benteng Harimau Muda diterajui pemain kebangsaan, Mohd Fadhli Shas, tetapi tiada tindakan penyudah berkesan.
Kemasukan Mohd Firdaus Mohd Fauzi pada babak kedua melihat Kedah semakin bertenaga dan serangan bertali arus pada 10 minit terakhir membuahkan gol apabila sepakan sudut Mohd Fauzi Shaari terkena pertahanan Harimau Muda, Mohd Amer untuk menewaskan penjaga gol, Mohd Izham Tarmizi Roslan.
MSL 2011 : Kedah Add On To Perlis’ Misery
Visitors Kedah FA edged Perlis FA 1-0 at the Utama Stadium here in the only Malaysian Super League match played Friday, to pile the misery for Perlis.
Kedah, facing the bottom of the league side, earned a penalty in the 29th minute that was put away by Baddrol Bakhtiar after Perlis goalkeeper Mohd Amirul Rosli had brought down Mohd Khyril Muhymeen inside the box.
The win saw Kedah move up to fifth sport in the league table behind leader Selangor FA, Perak FA, Kelantan FA and Felda United FC, respectively.
The bruising encounter between the Northern rivals saw referee Shamsuddin Ibrahim flash five yellow cards in the match, three to Kedah FA players and two to the home team.
Perlis FA, rooted at the bottom of the table, after having played 10 matches, have yet to win a match although the Northern side had earned three draws.
MSL 2011: Radhi fokus mental, Kedah FA vs Terengganu FA
TUMPUAN utama Radhi Mat Din yang mengambil alih tugas selaku jurulatih sementara pasukan Hijau Kuning daripada Ahmad Yusoff adalah menyediakan pemainnya dari segi mental ketika berdepan Terengganu FA di Stadium Darulaman, malam ini.
Menurutnya, status beberapa pemainnya sebagai pemain kebangsaan tidak mencukupi ketika berdepan lawan itu kerana perlu bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi mereka.
“Saya tidak mempunyai masa untuk melakukan perubahan drastik terhadap kesebelasan utama untuk perlawanan esok (malam ini) ketika bertemu Terengganu.
“Cuma apa yang mampu saya lakukan adalah cuba menyematkan ketahanan mental pemain dengan mengembalikan keyakinan diri sendiri.
“Ketika ini kami memiliki barisan pemain yang berupaya menandingi mana-mana pasukan dalam Liga Malaysia, tapi kelemahan mental dan kurang yakin terhadap kemampuan diri sendiri menjadi punca kekecewaan yang terpaksa kami hadapi sekarang,” kata Radhi.
Katanya, ribuan penyokong setia pasukan Hijau Kuning perlu memainkan peranan penting dengan memberi sokongan tidak berbelah bahagi bagi membakar semangat dan mengembalikan keyakinan barisan pemain.
“Saya minta kesemua penyokong setia Kedah FA supaya membakar semangat pemain dan bukannya memaki atau mengejek mereka kerana ia pasti akan melemahkan semangat serta membuka ruang untuk lawan mengambil kesempatan.
“Saya sudah bertemu semua pemain dan mereka simpati atas apa berlaku terhadap Ahmad. Tapi, pada masa sama, mereka juga berjanji akan bangkit ketika menentang Terengganu,” katanya.
MSL 2011 : Nasib Pasukan Kedah
SELEPAS timbul dakwaan pemain Pulau Pinang menjual perlawanan dan kemerosotan prestasi pasukan Perlis, kini tiba giliran skuad Hijau Kuning dihimpit kemelut dalaman sehingga memaksa Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) merehatkan Ketua Jurulatihnya, Ahmad Yusof.
Keputusan merehatkan jurulatih itu berikutan prestasi terumbang-ambing Sang Kenari di saingan Liga Super.
Walaupun dibarisi lapan pemain kebangsaan, Kedah hanya mampu mencatatkan satu kemenangan, tiga seri dan dua kekalahan daripada enam perlawanan liga.
Lebih malang, anak buah Ahmad Yusof terkeluar daripada kempen Piala FA selepas tewas kepada pasukan berstatus kelab, Felda United.
Berikutan prestasi hambar itu, penyokong Hijau Kuning mengadakan piket di luar Stadium Darul Aman mendesak Ahmad dan pengurus pasukan Datuk Khazali Din segera meletak jawatan.
Begitulah marahnya penyokong setia Kedah yang kecewa dengan persembahan longlai pasukan kesayangan mereka.
Malah, pada perlawanan Liga Super di antara Kedah dan Selangor baru-baru ini yang berkesudahan Sang Kenari tumpas 2-0, sudah kelihatan jelas amarah penyokong yang tidak dapat dibendung lagi.
Penyokong bagaikan tidak mahu menerima hakikat bahawa pasukan Kedah pernah mencatatkan kejayaan treble di bawah bimbingan Mohd Azraai Khor Abdullah (Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA) musim 2007 dan 2008 tidak lagi berbisa .
Justeru, timbul spekulasi bahawa pengendali berusia 59 tahun itu bakal kembali membimbing pasukan berkenaan.
Jika benar, diharap Azraai mampu mengubah nasib Kedah sekali gus mengelak pasukan itu kembali terjerumus ke kancah Liga Perdana.


